Baca Roma 5:1-10
Tetapi Allah telah menunjukkan kasih-Nya sendiri terhadap kita dengan demikian: Ketika kita masih berdosa. (Roma 5:8)
Dalam buku kanak-kanak yang manis oleh Lisa McCourt, I Love You, Stinky Face, seorang ibu memberitahu anak lelakinya bahawa dia mengasihinya. Namun si anak terus bertanya banyak soalan. “Bagaimanakah kalau aku seekor monyet?” tanya anak itu. Ibu menjawab bahawa jika dia seekor monyet, dia akan membuat kek hari jadi daripada pisang dan tetap memberitahunya bahawa dia dikasihi. Anak itu terus bertanya. Bagaimanakah kalau dia seekor sigung yang busuk? Buaya bergigi tajam? Dinosaur? Raksasa paya? Makhluk asing? Dengan berulang-ulang, ibunya tetap menjawab dengan lembut—dia akan mengasihinya sepenuhnya dan sentiasa menjaganya.
Kebanyakan kita boleh memahami perasaan anak itu. Kita pernah mendengar bahawa Tuhan mengasihi kita, tetapi sering muncul persoalan dalam hati: Benarkah Tuhan mengasihi kita, walaupun kita mempunyai banyak kelemahan dan melakukan banyak kesalahan?
Dalam Roma fasal 5, rasul Paulus menegaskan bahawa kasih Tuhan datang menyelamatkan kita “ketika kita masih berdosa” (Roma 5:8). Inilah kasih tanpa syarat yang sukar kita fahami sepenuhnya. Bahkan, kasih manusia yang terbesar pun biasanya hanya sanggup berkorban untuk mereka yang dianggap baik (ayat 7).
Tuhan tidak mengurangkan kasih-Nya kerana ketidaksempurnaan kita. Sebaliknya, ketika kita paling jauh daripada-Nya, Yesus tetap mengasihi kita hingga sanggup mati bagi kita. Melalui pengorbanan itu, Tuhan telah mengurniakan Roh-Nya untuk “mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita melalui Roh Kudus” (ayat 5). Inilah kasih yang boleh kita percayai sepenuhnya.
— Monica La Rose
Pernahkah anda mengalami kasih daripada orang lain, kasih yang mencontohi Kristus dan tanpa syarat?
Bagaimanakah kita meyakinkan orang lain bahawa mereka dikasihi?
Ya Bapa yang dikasihi, terima kasih kerana melalui Kristus, aku tidak perlu lagi meragui kasih-Mu kepadaku.
Sebarkan Berita Baik Ini
Mainkan peranan kita sebagai saksi Kristus dan pembawa Berita Baik dalam dunia digital.