Kami menghargai sokongan anda dalam apa jua bentuk, terutamanya sokongan doa untuk misi ini.
Pengedaran dan Pelaksanaan Bengkel
- Doakan agar Tuhan membuka setiap pintu dan melancarkan setiap perjalanan. Semoga setiap bahan rohani yang dihasilkan—buku, video, dan bahan digital—dapat sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya di asrama, gereja, dan keluarga di Sabah dan Sarawak. Doakan agar segala rintangan yang boleh menghalang penyebaran firman Tuhan disingkirkan. Marilah kita menyerahkan setiap bengkel dan seminar yang dirancang, agar semuanya berjalan dalam pimpinan Tuhan. Semoga Tuhan memakai setiap sesi untuk menyentuh hati, memperbaharui iman dan membangkitkan lebih ramai jiwa untuk hidup bagi Kristus.
Impak Jangka Panjang
- Doakan agar usaha ini bukan sekadar inisiatif sementara, tetapi menjadi alat yang berterusan untuk memperkukuh iman generasi akan datang dan ibu bapa. Semoga gereja-gereja, para sukarelawan dan organisasi Kristian terus membina komuniti yang mengasihi, mendoakan dan menyokong anak-anak muda dalam perjalanan iman mereka. Biarlah setiap benih firman yang ditaburkan bertumbuh, berakar, dan menghasilkan buah yang kekal untuk kemuliaan nama Tuhan.
Sokongan ibu bapa dan warden
- Doakan para warden, guru dan gereja yang dipanggil untuk menjadi “keluarga kedua” bagi anak-anak muda ini dan ibu bapa agar hati mereka penuh dengan kasih dan kesabaran, tidak penat dalam membimbing generasi ini dengan nilai-nilai Kristus. Semoga mereka diberikan hikmat dan kekuatan dalam setiap cabaran, serta menjadi teladan iman yang hidup agar generasi muda melihat Kristus melalui kasih dan tindakan mereka.
Kerjasama
- Doakan untuk para pelajar yang tinggal di asrama, sama ada milik kerajaan mahupun swasta agar hati mereka selalu rindu untuk mengenal Yesus lebih dalam dan menemukan harapan sejati dalam firman Tuhan. Doakan agar mereka tetap dilindungi daripada pengaruh dunia yang menyesatkan dan biarlah Tuhan memimpin mereka untuk hidup bagi kemuliaan-Nya. Semoga mereka mendapatkan kasih, sokongan dan bimbingan rohani yang mereka perlukan untuk bertumbuh sebagai generasi beriman kepada Kristus.
Sumber Kewangan
- Doakan agar lebih ramai individu, gereja, dan organisasi yang bermurah hati untuk menyokong projek ini, baik secara kewangan mahupun dengan tenaga dan doa. Semoga semangat kesatuan dalam komuniti Kristian terus berkobar-kobar untuk menjangkau lebih ramai jiwa bagi Kerajaan Tuhan. Marilah menyerahkan diri kita untuk dipakai oleh Tuhan sebagai saluran berkat-Nya, agar lebih ramai anak-anak dan keluarga mengalami kasih dan penyediaan-Tuhan.