Baca: Lukas 2:1-7, 15-20
Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan. (Lukas 2:11)
Semasa membeli-belah pada suatu hari Krismas, saya masuk ke dalam sebuah kedai dengan papan tanda besar yang menyatakan, “Krismas yang Sempurna.”
Saya rasa maksud tersirat kenyataan ini ialah: jika anda membeli hadiah di kedai tersebut, Krismas anda akan terjamin sempurna. Setiap kita semua menginginkan Krismas yang “sempurna”, tetapi apakah makna kesempurnaan ini bagi kita? Adakah ini merujuk kepada makanan, filem, atau lagu Krismas kegemaran kita?
Jika kita mengimbas kembali Krismas yang pertama, kita akan diingatkan kembali tentang pasangan suami isteri yang rendah diri, yang mengembara jauh dari Nazaret ke Betlehem untuk mendaftarkan diri. “Sewaktu mereka di sana, tibalah masanya untuk dia bersalin. Dia melahirkan seorang anak lelaki, iaitu anak sulungnya. Dia membedung anak itu lalu membaringkan-Nya di dalam sebuah palung kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah tumpangan” (Lukas 2:6-7).
Tempat tidur pertama Yesus ialah sebuah palung atau tempat makanan untuk binatang. Orang-orang yang turut menyambut kelahiran Yesus ialah para gembala yang dianggap sebagai orang terpinggir dalam masyarakat (ayat 15-16). Pastinya ini suatu peristiwa yang sempurna, bukan?
Bahagian yang sempurna tentang Krismas ialah kedatangan Yesus di dunia untuk menyelamatkan kita daripada dosa. “Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan” (ayat 11).
Janganlah kita terpedaya oleh mesej Krismas yang dikomersialkan, tetapi ingatlah bahawa Krismas ialah tentang Kristus. Yesus yang sempurna telah datang ke dunia yang tidak sempurna untuk memberi kita kedamaian dan keselamatan. — Nancy Gavilanes
Ya Yesus, terima kasih kerana Engkau datang dan menebusku daripada dosa.
Sebarkan Berita ini
Sebarkan berita baik projek ini kepada orang lain agar mereka juga tahu. Semoga hikmat firman Tuhan yang mengubah kehidupan dapat difahami dan diperolehi oleh semua orang.
Misi kami adalah menjadikan hikmat Alkitab yang mengubah kehidupan boleh difahami dan mudah didapat oleh semua orang.