Laman Utama|  Hari 2: Dia Hadir!

Baca: Mazmur 23
Engkau ada bersamaku (Mazmur 23:4)


Pada tahun terakhir ayah saya, dia menghidapi penyakit Parkinson dan mengalami salah satu gejala, iaitu halusinasi, yang dia menamainya “mimpi yang jelas.” Dia hidup dalam kekeliruan antara keadaan separuh sedar atau tidur bermimpi.

Pada suatu tengah malam, dia memanggil saya. Dia berkata bahawa dia berada di tempat yang aneh tetapi kelihatan nyata baginya. Dia seolah-olah dalam mimpi yang jelas tetapi masih dalam keadaan terjaga. Dengan suara yang serak dia bertanya, “Ken, adakah kamu betul-betul wujud?” Walaupun keadaan ayah saya sungguh menyedihkan, saya tetap menjawab, “Ya ayah, saya di sini bersama kamu sekarang.”

Kita sering kali mendapati diri kita berada di tempat yang aneh, tertanya-tanya sama ada Tuhan itu wujud atau tidak. Kita sangat memerlukan kehadiran-Nya. Pada masa-masa sebeginilah kita memerlukan penghiburan yang terdapat dalam Mazmur 23—Tuhan ada bersama kita secara nyata. Dia membaringkan kita “di padang rumput yang hijau” dan membimbing kita ke “tepian air tenang” (ayat 2), dan melalui “lembah bayangan maut” (ayat 4).

Inilah gambaran luar biasa tentang kehadiran Tuhan yang sangat dekat, seperti membisikkan janji ini ke telinga kita, “Aku ada bersamamu” (ayat 4). Janji ini digenapi melalui Kristus yang telah datang dan tinggal bersama-sama kita.

Akhirnya, ayah saya tidak lagi sedarkan diri dan berada di bawah jagaan hospis. Tetapi apabila saya mula menyanyikan lagu pujian kegemarannya, “His Eye Is on the Sparrow” (KRI 213: Dia Memeliharakan Burung), ayah perlahan-lahan berpaling, melihat ke langit, dan mula bernyanyi bersama saya: “Sekarang ku memuji…aku pun dijaga oleh Bapa semesta.”

Saya tidak dapat melegakan gangguan mental yang dihadapi ayah saya, tetapi Tuhan boleh. Tuhan hadir bersama ayah saya dan Dia hadir bersama anda, sekarang juga, pada saat ini secara nyata. — Ken Petersen

Renungkan

  • Bilakah anda merasakan kehadiran Tuhan yang sungguh nyata?
  • Bilakah anda berasa seakan-akan Tuhan itu tidak nyata dalam hidup anda?

Berdoalah

Ya Tuhan, aku mencari ketenangan-Mu. Tolonglah aku merasakan kehadiran-Mu dalam hidupku.

Sebarkan Berita ini

Sebarkan berita baik projek ini kepada orang lain agar mereka juga tahu. Semoga hikmat firman Tuhan yang mengubah kehidupan dapat difahami dan diperolehi oleh semua orang.

Misi kami adalah menjadikan hikmat Alkitab yang mengubah kehidupan boleh difahami dan mudah didapat oleh semua orang.

Hubungi Kami