Baca: Matius 1:18-24
Seorang anak dara akan mengandung, dan melahirkan seorang anak lelaki, dan mereka akan menamai Dia Immanuel”. (Matius 1:23)
Krismas menjadi berbeza selepas kami kehilangan orang tersayang. Tradisi keluarga seperti mengadakan jamuan makan malam Krismas tidak terlaksana. Sebaliknya, kami cuba merenungkan pemberian Tuhan yang sanggup menjadi manusia untuk bersama-sama kita. Dialah Immanuel yang akan menghiburkan kita daripada kesedihan dan meyakinkan kita tentang kehadiran-Nya.
Gambaran Yesus sebagai Immanuel dalam Injil Matius adalah unik dalam kitab-kitab Injil. Matius menceritakan kisah ini melalui sudut pandangan Yusuf, lelaki yang telah dijanjikan untuk berkahwin dengan Maria. Di Timur Dekat kuno, pertunangan ialah perjanjian yang sah secara undang-undang. Jadi, apabila Yusuf mendapati bahawa Maria mengandung anak yang bukan miliknya, dia memikirkan cara untuk “tidak mahu memalukan Maria di mata masyarakat”, malah dia “berniat memutuskan pertunangan mereka secara diam-diam” (Matius 1:19). Tetapi malaikat Tuhan meyakinkannya bahawa anak di dalam kandungannya adalah daripada Roh Kudus (ayat 20). Malaikat itu memetik kata nabi Yesaya, bahawa anak itu akan menjadi Immanuel, yang bererti “Allah Menyertai Kita” (ayat 23).
Bagi Yusuf, “Allah Menyertai Kita” bermaksud satu jemputan istimewa untuk menerima Maria sebagai isterinya dan membesarkan anak yang luar biasa ini. Bagi orang yang percaya Yesus, “Allah Menyertai Kita” mengandungi janji bahawa kita tidak akan keseorangan ketika menghadapi kesedihan, kesakitan, atau kesusahan. Semoga kita berpegang pada kebenaran ini sambil merayakan anugerah Immanuel. — Amy Boucher Pye
Ya Yesus, Engkau menyertaiku setiap hari. Tolonglah aku agar sentiasa sedar akan kebenaran yang indah dan mengubah hidup ini.
Sebarkan Berita ini
Sebarkan berita baik projek ini kepada orang lain agar mereka juga tahu. Semoga hikmat firman Tuhan yang mengubah kehidupan dapat difahami dan diperolehi oleh semua orang.
Misi kami adalah menjadikan hikmat Alkitab yang mengubah kehidupan boleh difahami dan mudah didapat oleh semua orang.