Baca: Yesaya 7:1-4, 10-14
Tim, Nathan, dan Bruce menimbulkan ketakutan dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Salah seorang daripada mereka sudah cukup menjadi ancaman; apa lagi jika mereka bergabung, segala akan menjadi cukup menakutkan. Namun pada suatu malam di sebuah pesta, saya dipanggil keluar untuk “berjumpa dengan mereka.” Saya pergi, disertai dengan rasa bimbang dan takut.
Namun, sesuatu telah berlaku dan membawa kelegaan kepada saya. Paul, seorang pelajar senior yang yakin, keluar bersama saya. Kehadirannya mengubah segalanya.
Dalam Yesaya 7, Raja Ahaz dari Yehuda berhadapan dengan sebuah gabungan musuh yang sangat menakutkannya dan rakyatnya (ayat 1-2). Tetapi Tuhan berkata kepadanya, “Mantapkanlah hatimu dan tenanglah. Jangan takut dan jangan tawar hati kerana dua puntung kayu bakar yang berasap ini” (ayat 4).
Tuhan juga memberikan tanda bagi mereka yang tergamam dengan kehadiran tentera yang menyerang: “Tuhan sendiri akan memberikan tanda kepadamu: Sesungguhnya, seorang anak dara akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia akan menamainya Immanuel (yang bermaksud, ‘Allah menyertai kita’)” (ayat 14). Tanda itu ialah kelahiran seorang yang namanya bermaksud “Allah menyertai kita.”
Kira-kira tujuh abad kemudian, penulis Injil Matius mencatatkan kelahiran Yesus telah menggenapi nubuat ini (lihat Matius 1:23). Kehidupan dan pelayanan Yesus mengubah segalanya, menunjukkan bagaimana keadaan menjadi berbeza apabila Tuhan menyertai kita. Kehidupan akan berubah bagi mereka yang letih, cemas, dan takut. Pengampunan diberikan kepada semua orang yang menerima hadiah yang luar biasa ini. – Arthur Jackson
Bapa, terima kasih kerana Engkau mengasihiku dan menghantar Yesus sebagai tanda kasih-Mu yang agung kepadaku. Terpujilah nama-Mu!
Sebarkan Berita ini
Sebarkan berita baik projek ini kepada orang lain agar mereka juga tahu. Semoga hikmat firman Tuhan yang mengubah kehidupan dapat difahami dan diperolehi oleh semua orang.
Misi kami adalah menjadikan hikmat Alkitab yang mengubah kehidupan boleh difahami dan mudah didapat oleh semua orang.