Ayat Kunci:
Setiap orang antaramu telah menerima pelbagai kurnia daripada Allah. (1 PETRUS 4:10)
Sejurus selepas saya memberikan Pak Ming RM100, saya mula rasa menyesal. Lelaki tua itu sering berlegar di kawasan kejiranan kami dan kelihatan miskin, jadi saya terfikir untuk memberinya sedikit bantuan. Tetapi apabila saya ternampak dompetnya mengandungi beberapa keping wang kertas, saya terfikir, “Eh, dia tidaklah semiskin yang saya sangka! Adakah saya baru sahaja membazirkan wang saya?”
Ketika perasaan menyesal itu mula menyelubungi saya, dia berkata, “Terima kasih untuk ini! Sekarang saya boleh membantu pekerja pembersih di taman perumahan kita untuk menyara keluarganya. Pendapatannya sangat sedikit!”
Kata-katanya membuat saya rasa malu. Sementara saya berkira-kira sama ada wajar atau tidak saya membantunya, Pak Ming—yang sebenarnya serba kekurangan—sanggup membantu orang lain yang juga dalam kesusahan. Seperti yang diperingatkan oleh rasul Petrus: “Setiap orang antaramu telah menerima pelbagai kurnia daripada Allah.” Pak Ming telah menunjukkan erti sebenar menerima kurnia dan “[menggunakan] kurnia itu untuk kebaikan semua” (1 Petrus 4:10).
Ketika itu saya tersedar bahawa kemurahan hati dan belas kasihan Pak Ming sebenarnya telah menggandakan hadiah saya kepadanya. Walaupun saya memberi dengan ragu-ragu, kasih kurnia Yesus membolehkan saya membantu orang lain melalui orang tua itu. Melalui Pak Ming, saya dapat membantu orang yang saya tidak kenal. Tuhan yang pengasih menyediakan keperluan orang yang memerlukan, kadangkala dengan cara yang luar biasa dan tidak disangka. Semoga kita menjadi saluran pemberian Tuhan yang taat, memberi dengan kasih (ayat 8), dan mempercayai-Nya untuk menggandakan pemberian kita.
—Leslie Koh
Adakah seseorang yang boleh anda bantu hari ini atau minggu ini, walaupun dengan cara yang kecil? Apakah yang boleh anda lakukan?
Bapa di syurga, terima kasih kerana Engkau Tuhan yang penuh dengan kasih kurnia. Segala yang aku ada datang daripada-Mu, dan Engkau selalu menjagaku sehingga tidak kekurangan. Hari ini, aku mahu menyerahkan diriku kepada-Mu. Pakailah aku dan tolonglah aku supaya rela berkongsi dengan orang lain. Berikan aku hati yang peka untuk melihat keperluan orang di sekeliling, ajar aku memberi dengan murah hati kerana kasih-Mu, dan jadikan aku saluran berkat bagi orang lain. Dalam nama Tuhan Yesus Kristus, amin.
7Sudah hampir waktunya bagi segala-galanya berakhir. Oleh itu, berdoalah dengan bersungguh-sungguh dan berjaga-jaga. 8Paling utama, kasihilah satu sama lain kerana kasih akan menutup banyak dosa. 9Raikan satu sama lain tanpa bersungut. 10Setiap orang antaramu telah menerima pelbagai kurnia daripada Allah. Sebagai pengurus yang baik bagi kurnia Allah, gunakanlah kurnia itu untuk kebaikan semua. 11Jika sesiapa menyampaikan perkhabaran, sampaikanlah firman daripada Allah. Jika sesiapa memberi pertolongan, berilah dengan keupayaan yang dibekalkan oleh Allah. Dengan demikian, dalam semua hal Allah akan dimuliakan melalui Yesus Kristus yang memiliki kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.