Pada mulanya Allah …(KEJADIAN 1:1)
“Betlehem bukanlah penghujung perjalanan kita, tetapi hanyalah permulaan.” Demikianlah yang ditulis oleh Frederick Buechner dalam karyanya The Magnificent Defeat pada tahun 1966. Walaupun kata-katanya sesuai dengan apa jua permulaan dalam kehidupan, Buechner menulisnya dalam konteks musim Natal, ketika kita sering tergoda untuk terus berada dalam kehangatan damai dan sukacita perayaan. Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan, “Betlehem bukanlah penghujung perjalanan kita?” Buechner menjelaskannya: “Rumah … bagi kita bukanlah palungan yang disinari cahaya lembut dan tempat Tuhan menjadi seorang bayi … Kita juga harus kembali ke negeri kita sendiri, kerana damai bukanlah hasil pelarian daripada pertempuran, tetapi ditemui dalam kesengitan pertempuran itu sendiri.”
Jika kita jujur tentang segala ketidakpastian yang menanti kita, maka kata-kata pertama dalam Alkitab memiliki kuasa untuk menenangkan hati kita: “Pada mulanya Allah …” (Kejadian 1:1). Bahkan sebelum segala sesuatu terbentuk, “Roh Allah melayang-layang di atas permukaan air” (ayat 2). Inilah sifat kebenaran Tuhan yang kekal. Dia wujud sebelum segala sesuatu—segala-galanya. Dan Dia terus mendahului kita dalam segala perkara. Dia hadir sama ada kita sedar atau tidak, tetapi mengapa kita tidak menyedarinya? Jika kita sungguh-sungguh mahu mengikut kehendak dan jalan-Nya, kita akan sentiasa ingat dan berpaut pada kebenaran ini semasa kita melangkah ke tahun baru dalam perjalanan hidup yang tidak pasti.
Ketika anda meneruskan perjalanan hidup, ingatlah, Tuhan sudah ada di sana. Dia telah ada sejak permulaan.
—John Blase
Apakah ketidakpastian yang sedang anda rasakan menjelang masa depan? Bagaimanakah anda boleh menyerahkan ketidakpastian ini kepada Bapa Syurgawi kita?
Bapa di syurga, terima kasih kerana selalu bersamaku dan berjalan bersamaku setiap hari! Saya selalu rasa cemas menghadapi masa depan yang tidak pasti, tolong kuatkan hatiku agar aku tidak lupa bahawa Engkau tidak pernah meninggalkanku sejak dari awal. Engkau ada sejak permulaan dan Engkau masih menyertaiku sampai hari ini. Aku percaya, Engkau akan terus memimpin dalam segala hal. Dalam nama Yesus, amin.
1Pada mulanya Allah menciptakan langit dan bumi. 2Bumi tidak berbentuk dan kosong; kegelapan menyelubungi permukaan samudera, dan Roh Allah melayang-layang di atas permukaan air. 3Berfirmanlah Allah, “Jadilah cahaya.” Lalu terus ada cahaya. 4Allah melihat cahaya itu baik, lalu Dia memisahkan cahaya itu daripada kegelapan. 5Allah menamai cahaya itu siang, dan kegelapan itu dinamai-Nya malam. Maka turut jadilah petang dan juga pagi, itulah satu hari, dan yang pertama.