Hadiah yang Dijanjikan

Ayat Kunci:

Roh-Ku berada di tengah-tengah kamu. Oleh itu, janganlah takut! (HAGAI 2:5)

Tidak ramai yang mengenali nama Charles Jennens. Dialah individu yang menyediakan lirik bagi banyak karya muzik George Frideric Handel. Walaupun mereka sering berselisih pendapat, Jennens dan Handel telah menghasilkan karya-karya agung bersama. Messiah, hasil karya Handel, kini menjadi salah satu muzik klasik yang pasti kedengaran pada musim Natal. Jennens memilih lirik untuk oratorio ini secara langsung daripada Alkitab, sebahagian besarnya adalah daripada petikan Perjanjian Lama yang menunjuk kepada kedatangan Mesias yang telah lama dinantikan.

Salah satu petikan tersebut berasal daripada nabi Hagai: “Sekali lagi, dalam sedikit waktu lagi, Aku akan menggoncangkan langit dan bumi” (Hagai 2:6). Ketika itu, umat Israel lebih mementingkan kesejahteraan mereka sendiri dan mengabaikan Tuhan. Maka Tuhan berkata kepada mereka, “bait-Ku terus usang dan terbiar dalam kerosakan, walhal kamu sibuk menguruskan rumah masing-masing” (Hagai 1:9). Rumah Tuhan—iaitu Bait Suci—menggambarkan rancangan-Nya untuk tinggal bersama umat-Nya, sesuatu yang mereka belum faham sepenuhnya. Melalui nabi Hagai, Tuhan mengingatkan mereka: “sewaktu kamu keluar dari Mesir … Roh-Ku berada di tengah-tengah kamu. Oleh itu, janganlah takut!” (Hagai 2:5). Hagai menambah, “akan datang mengalir keinginan segala bangsa, maka akan Kupenuhi Bait ini dengan kemegahan” (ayat 7).

Lima ratus tahun kemudian, malaikat Gabriel menampakkan diri kepada Maria untuk mengumumkan kedatangan yang dinantikan oleh segala bangsa. “Janganlah takut,” katanya. “Engkau akan hamil dan melahirkan seorang anak lelaki” (Lukas 1:30-31).

Apa pun yang kita hadapi pada tahun ini, kita tidak perlu takut. Kita memiliki hadiah yang dijanjikan: Penyertaan Yesus. 

— Tim Gustafson

Renungkan:

Apakah yang sering mengalihkan perhatian anda pada musim Natal? Bagaimanakah janji penyertaan Tuhan dapat menguatkan semangat anda pada musim ini?

 
Berdoalah:

Bapa di syurga, terima kasih atas janji-Mu bahawa Engkau sentiasa menyertaiku di mana pun aku berada dan dalam apa jua keadaan. Engkaulah sumber ketenangan dan kekuatanku yang sejati, dan dalam-Mu aku memiliki harapan yang kekal. Tolonglah aku untuk selalu peka akan kehadiran-Mu dan tetap percaya kepada pimpinan-Mu. Terima kasih kerana Engkau tidak pernah meninggalkanku sendirian. Dalam nama Yesus, amin.


 
Bacaan hari ini: HAGAI 2:1-9

1Pada hari kedua puluh satu dalam bulan ketujuh itu, datanglah firman TUHAN dengan perantaraan Nabi Hagai: 2“Katakanlah begini kepada pembesar Yehuda, Zerubabel anak Sealtiel, dan kepada imam besar, Yosua anak Yozadak, dan kepada warga bangsa itu yang selebihnya: 3Adakah antara kamu yang pernah melihat Bait ini dalam kemegahannya yang terdahulu? Pada pandangan kamu, bagaimanakah keadaannya sekarang? Bukankah di matamu, keadaannya sekarang langsung tidak bererti sebagaimana keadaan terdahulunya? 4Namun begitu, kuatkanlah hatimu, wahai Zerubabel, demikianlah firman TUHAN; kuatkanlah hatimu, wahai Yosua anak Yozadak, imam besar; kuatkanlah hatimu, wahai semua warga negeri sekalian, demikianlah firman TUHAN; berusahalah, kerana Aku menyertai kamu, demikianlah firman TUHAN alam semesta. 5Ini sejajar dengan ikatan perjanjian Aku dengan kamu sewaktu kamu keluar dari Mesir. Maka Roh-Ku berada di tengah-tengah kamu. Oleh itu, janganlah takut!

6 Sebabnya beginilah firman TUHAN alam semesta: Sekali lagi, dalam sedikit waktu lagi, Aku akan menggoncangkan langit dan bumi, laut dan darat. 7Aku akan menggoncangkan segala bangsa, sehingga akan datang mengalir keinginan segala bangsa, maka akan

Kupenuhi Bait ini dengan kemegahan, firman TUHAN alam semesta. 8Perak itu milik-Ku dan emas itu milik-Ku, demikianlah firman TUHAN alam semesta. 9Adapun bagi Bait ini, kemegahannya yang kemudian akan melebihi kemegahan terdahulunya, firman TUHAN alam semesta, dan di tempat ini akan Kuberikan damai sejahtera, demikianlah firman TUHAN alam semesta.”

Hagai 2:5

Roh-Ku berada di tengah-tengah kamu. Oleh itu, janganlah takut!


5 Hari Renungan Natal