[Yesus] dapat menyelamatkan sepenuhnya mereka yang datang kepada Allah melalui-Nya. (IBRANI 7:25)
Sewaktu saya masih kecil, Hari Natal bermakna masa bersama keluarga. Kami akan menghadiri ibadah di gereja pada waktu petang, kemudian menikmati makan malam bersama. Kami menikmati hidangan istimewa seperti kekacang Portugis dan buah berangan yang hanya dimakan pada waktu-waktu istimewa di Brazil.
Namun, ketika saya berumur sepuluh tahun, saya mengalami kekecewaan besar pada malam sebelum Natal. Ayah, adik-beradik saya, dan saya menunggu ibu saya pulang hingga lewat malam. Disebabkan salah faham (ketika itu belum ada telefon bimbit), ibu saya memutuskan untuk menyambut malam sebelum Natal di rumah orang lain.
Akan ada masa-masanya orang lain mengecewakan kita. Tetapi, syukur kepada Tuhan, kisah itu berubah sepenuhnya ketika saya berumur tiga belas tahun, pada suatu malam sebelum Natal. Yesus telah menjadi makna sebenar bagi saya untuk menyambut Natal. Saya telah mengerti identiti Anak kecil di dalam palungan itu. “Dia dapat menyelamatkan sepenuhnya mereka yang datang kepada Allah melalui-Nya,” kata Ibrani 7:25. Ini bermakna bahawa Dialah yang berkuasa menyelamatkan kita daripada segala kejahatan dan dosa yang telah kita lakukan.
Yesus telah menyelamatkan, menyembuhkan, dan mengubah hidup saya. Dia hadir hari ini, pada musim Natal ini, untuk mengingatkan kita tentang kasih Tuhan yang agung. “Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal” (Yohanes 3:16).
— Adolfo Antonio Hickmann
Apakah kenangan pahit yang masih menghantui anda? Bagaimanakah anda dapat menyerahkan semuanya kepada Penyelamat yang memelihara anda?
Yesus yang terkasih, lebih daripada 2000 tahun yang lalu, kelahiran-Mu telah membawa perubahan besar dalam hidupku. Terima kasih kerana Engkau telah memberikan hidup-Mu bagiku dan membayar harga yang begitu mahal, supaya aku bebas daripada ikatan dosa dan menerima harapan yang kekal. Terima kasih kerana mengasihiku dengan kasih yang sejati dan selalu berjalan bersamaku. Tolonglah aku supaya hidupku menyenangkan hati-Mu dan menjadi kesaksian bagi kemuliaan-Mu. Dalam nama Yesus, amin.
11Oleh itu, kalaulah kesempurnaan didapati daripada keimaman Lewi (kerana di bawahnya orang menerima hukum Taurat), mengapakah perlu bangkitnya seorang imam lagi menurut peraturan Melkisedek, yang tidak dipanggil menurut peraturan Harun? 12Dengan berubahnya keimaman, semestinya berubahlah hukum Taurat. 13Dia yang disebut berkaitan segala ini datang daripada suku lain, yang belum pernah menghasilkan imam untuk bertugas di mazbah. 14Jelas bahawa Tuhan kita keturunan Yehuda, tetapi tentang suku ini Musa tidak pernah mengatakan sesuatu berkaitan imam-imam.
15Jauh lebih jelas lagi jika, seperti Melkisedek, bangkit seorang imam lagi, 16yang datang bukan menurut perintah berkenaan hal jasmani, tetapi menurut kuasa hidup yang tidak berkesudahan. 17Tentang Dia, telah disaksikan: “Engkau menjadi imam untuk selama-lamanya menurut peraturan Melkisedek.”
23Ramai yang telah menjadi imam itu, kerana kematian menghalang mereka daripada berterusan dalam jawatan. 24Tetapi Yesus, kerana Dia berterusan selama-lamanya, mempunyai keimaman yang tidak mungkin berubah.