“Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus” (Lukas 23:43).
Ini ialah kisah benar yang pernah saya saksikan di mahkamah—seorang pemuda berdiri di dalam kandang tertuduh, menghadapi dakwaan atas kesalahan rompakan sambil menahan tangisannya. Kejadian tersebut benar-benar menyentuh jiwa saya sebagai seorang ibu yang turut memiliki tiga orang anak lelaki.
Hati saya menjadi sayu melihat raut wajah kedua-dua orang tuanya. Dari pandangan mereka, jelas terpancar kasih sayang yang mendalam terhadap anak mereka, meskipun terpaksa berhadapan dengan dakwaan yang berat. Apatah lagi, pemuda tersebut telah mengakui kesalahannya.
Ketika prosiding rayuan berlangsung, hakim meminta ibu dan bapa pemuda itu berdiri. Dengan suara sebak, si ayah berkata, “Saya mohon agar hukuman anak kami diringankan. Ini salah saya kerana tidak mampu mendidik anak dengan baik. Selepas ini, kami akan berusaha membimbingnya dengan lebih baik.”
Saya yang mencatat kata-kata itu berusaha menahan emosi. Kata-kata seorang ayah yang penuh kasih sayang itu begitu menyentuh hati saya. Meskipun anaknya telah melakukan kesalahan yang serius di mata masyarakat, dia tetap menerimanya dengan penuh kasih. Pemuda tersebut, yang berusia awal 20-an, menyatakan kekesalannya dengan suara tersekat-sekat. Saya dapat merasakan kesedihan yang terdalam di hatinya—dia telah melukakan perasaan ibu bapanya, namun tetap diterima oleh mereka.
Kisah ini mengingatkan saya kepada perumpamaan Anak yang Sesat dalam Lukas 15:11-32. Si bongsu meminta bahagiannya daripada harta peninggalan lalu menjualnya dan membelanjakan seluruh wangnya dengan boros. Namun, dia menyesali perbuatannya dan pulang ke rumah ayahnya. Kepulangannya disambut dengan penuh kegembiraan oleh si ayah dan berkata, “Kita patut bersuka ria kerana adikmu ini telah mati dan hidup kembali; dia telah sesat dan ditemukan kembali,” (Lukas 15:32)
Begitu juga dengan kita—pada suatu ketika dahulu, kita juga pernah menjadi “anak yang sesat,” hidup dikuasai dosa dan hanya mementingkan hal-hal duniawi. Hingga tiba satu saat, kita berasa tidak berdaya dan mula mencari Tuhan. Namun, Bapa yang kita panggil tidak pernah menolak kita. Dia sentiasa bersedia untuk menerima pertaubatan dan menyucikan kita daripada segala dosa dan kejahatan.
Marilah kita kembali kepada Tuhan dengan hati yang tulus, mengakui segala dosa dan melakukan pertaubatan yang selari dengan firman-Nya. Kita telah mengalami kasih Tuhan yang tidak bersyarat, semoga kita juga dengan sukacita menerima kembali “anak yang sesat” ke dalam keluarga kita.
Apakah penyesalan terbesar yang pernah anda alami dalam keluarga—sama ada yang anda lakukan terhadap mereka atau sebaliknya? Mengapakah anda merasakan itu sukar untuk diampuni?
Salah seorang pencuri yang disalibkan bersama Yesus telah menjalani kehidupan yang penuh kejahatan. Dia berkata kepada penjenayah di sebelahnya, “Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini [Yesus] tidak melakukan kesalahan apa-apa” (Lukas 23:41). Dalam sisa waktu terakhirnya yang amat menyakitkan, penderitaan fizikalnya hampir mengaburkan keperluan rohaninya yang lebih besar.
Lebih buruk lagi, dia telah membazirkan saat-saat berharga yang tinggal. Pada mulanya, dia juga turut mengejek dan menghina Yesus seperti orang lain (Markus 15:32). Namun, ketika dia tergantung di atas kayu salib, menantikan kematian, dia akhirnya berpaling kepada satu-satunya harapannya. Dia berkata, “Yesus, ingatlah aku apabila Engkau datang sebagai Raja” (Lukas 23:42).
Tuhan gembira untuk menyelamatkan orang, termasuk mereka yang seakan-akan telah kehabisan waktu. Daripada terus dibelenggu oleh kesalahan masa lalu, lebih baik kita berpaling kepada Yesus.
Saya Mengampuni Suami Saya yang Curang
Perjalanan Seorang Ibu Membesarkan Anak Remajanya
Sebarkan Berita ini
Sebarkan berita baik projek ini kepada orang lain agar mereka juga tahu. Semoga hikmat firman Tuhan yang mengubah kehidupan dapat difahami dan diperolehi oleh semua orang.
Misi kami adalah menjadikan hikmat Alkitab yang mengubah kehidupan boleh difahami dan mudah didapat oleh semua orang