Kira-kira jam kesembilan, Yesus berseru dengan suara yang lantang, … “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?” (Matius 27:46)
Saya membesar sebagai seorang yang berdikari dan tegas, tetapi juga agak memberontak dan suka mencuba perkara baharu. Ibu bapa saya sering bertengkar jadi saya mencari kasih sayang di luar dan berkahwin pada usia 22 tahun. Melalui perkahwinan, saya dibaptis sebagai seorang Kristian tetapi belum benar-benar mengenal Tuhan dan jarang ke gereja.
Pada awalnya, perkahwinan saya bahagia dan dikurniakan dua orang anak. Namun, lima tahun kemudian, segalanya berubah apabila kecurangan suami mula merosakkan hubungan kami. Akhirnya, kami hidup berasingan. Saya cuba memberi peluang untuk memperbaiki perkahwinan kami, tetapi semuanya gagal.
Saya mengalami insomnia hampir setiap malam, diselubungi kesedihan dan kebingungan. Terlalu banyak persoalan yang berlegar di fikiran saya tanpa jawapan. Pada saat itu, saya teringat akan Tuhan dan mula berdoa setiap hari, meminta petunjuk-Nya.
Suatu hari, ketika mengemas rumah, saya terjumpa sebuah Alkitab dan firman-Nya memberikan saya ketenangan yang mendalam. Sejak itu, saya benar-benar ingin mengenal Tuhan dan membaca Alkitab dengan tekun.
Setelah melalui pelbagai pergelutan, akhirnya saya nekad untuk menamatkan perkahwinan tersebut. Saya mengalami kemurungan tetapi saya terus berdoa dengan lebih bersungguh-sungguh, meminta Tuhan menyembuhkan luka di hati saya. Saya berpaut pada janji dalam Matius 7:7: “Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu.”
Sebagai seorang ibu tunggal, kebimbangan terbesar saya adalah ketidakmampuan untuk membesarkan anak-anak saya dengan baik dan tidak dapat memberi mereka sebuah keluarga yang lengkap. Namun, saya bersyukur kerana Gembala Agung sentiasa menyertai saya, mencukupkan saya dalam pelbagai cara; ibu bapa saya sudi membantu menjaga anak-anak, membolehkan saya bekerja pada siang hari dan anak-anak saya berkelakuan baik.
Sudah beberapa tahun sejak saya menjadi ibu tunggal. Apabila saya menoleh ke belakang, saya sedar bahawa Tuhan tidak pernah meninggalkan saya. Dia memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang-Nya, menghapuskan kekeliruan dan kebimbangan saya, serta menyedarkan saya bahawa setiap kejadian yang berlaku mempunyai tujuan yang baik menurut rancangan-Nya.
Sekarang saya kembali ke gereja secara konsisten. Kerana kasih Tuhan, saya akhirnya mampu melepaskan kesakitan disebabkan perkahwinan saya yang lalu. Saya bersyukur kerana Tuhan hadir dalam hidup saya dan saya benar-benar mengasihi-Nya.
Pernahkah anda berasa diabaikan oleh keluarga anda? Bagaimanakah Tuhan telah menolong anda ketika itu?
Apakah yang lebih menyedihkan daripada berasa sendirian pada saat paling gelap dalam hidup? Yesus sendiri merasakan kepedihan ini. Dari salib Dia berseru: “Allah-Ku, Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” (Matius 27:46). Yesus bukan sahaja meluahkan penderitaan-Nya sendiri, tetapi Dia juga menyuarakan kesakitan seluruh dunia.
Dia tidak bercakap secara spontan tetapi sedang menggemakan salah satu doa Israel (Mazmur 22:1). Dia menjelaskan ketakutan Israel bahawa Tuhan mungkin meninggalkan mereka, dan pada masa yang sama, Dia juga sedang berdoa bersama kita—menyuarakan ketakutan yang setiap kita rasakan pada saat-saat keputusasaan.
Apabila kita kehilangan seorang anak atau perkahwinan kita runtuh, kita mungkin berasa Tuhan seakan-akan tiada. Namun, Yesus di atas kayu salib yang sunyi ini—dan kebangkitan-Nya yang menyusul—menjadi jawapan kepada keperitan kita. Kita mungkin berasa ditinggalkan, tetapi Yesus menunjukkan kebenaran: Tuhan sentiasa bersama kita, bahkan di lembah bayangan maut. Kita tidak pernah ditinggalkan.
Perjalanan Seorang Ibu Membesarkan Anak Remajanya
Puas dalam Tuhan, Bukan dalam Keluarga
Sebarkan Berita ini
Sebarkan berita baik projek ini kepada orang lain agar mereka juga tahu. Semoga hikmat firman Tuhan yang mengubah kehidupan dapat difahami dan diperolehi oleh semua orang.
Misi kami adalah menjadikan hikmat Alkitab yang mengubah kehidupan boleh difahami dan mudah didapat oleh semua orang