“[Yesus] berkata kepada ibu-Nya, “Lihat, itulah anakmu.” Kepada murid-Nya [Yohanes] Dia berkata, “Lihatlah ibumu” (Yohanes 19:26-27)
Ramai ibu yang sedang menuju fasa menopaus mungkin mempunyai anak remaja sekarang. Bayangkan pertembungan antara seorang ibu menopaus dan anak remajanya—keadaannya boleh menjadi sangat mencabar! Inilah yang saya alami—saya tidak sehaluan dengan anak lelaki saya dan kami sering bertengkar.
Namun, setelah saya dan suami mengikuti kursus keibubapaan, kami mula memahami keperluan anak-anak remaja serta cabaran yang dihadapi mereka dalam proses membesar. Saya belajar bahawa cara kita bercakap sangat penting. Sebelum bercakap dengan anak, kita boleh berlatih dalam fikiran dan memilih kata-kata, nada serta bahasa tubuh yang sesuai.
Kita juga harus meluangkan masa untuk memahami minat mereka. Jangan mudah mengkritik hobi, permainan video atau muzik yang mereka suka kerana perkara ini penting bagi mereka. Meskipun kita risau mereka membuang masa dan tidak cukup berusaha dalam pelajaran atau kehidupan, kita perlu menahan diri daripada mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan.
Ada ibu bapa bertanya, “Bilakah masa terbaik untuk mendidik anak tentang memilih kawan, bermain permainan video atau mengurus masa dengan baik?” Jawapannya, pendidikan ini harus dimulakan sebelum mereka memasuki usia remaja. Itulah sebabnya ramai pakar menekankan kepentingan kehadiran dan pengaruh ibu bapa dalam kehidupan anak-anak kecil. Setelah “tempoh keemasan” ini berlalu, anak-anak akan mula mempunyai pandangan sendiri dan mahu membuat keputusan sendiri.
Pada suatu ketika, anak saya sering menolak keprihatinan saya dan saya berasa amat kecewa. Saya berdoa kepada Tuhan, “Saya tidak mahu menunjukkan kasih lagi. Saya hanya mahu hidup dengan tenang sendiri.” Namun, Tuhan menghiburkan saya dan berkata, “Engkau juga seperti seorang remaja di mata-Ku. Engkau memerlukan kasih-Ku, dan kasih-Ku tidak berkesudahan. Aku akan memberimu kasih yang cukup untuk terus mengasihi.”
Sesungguhnya, setiap kita adalah seperti remaja yang tidak menentu di hadapan Tuhan—kadang-kadang taat, kadang-kadang memberontak. Namun, kasih Tuhan tidak pernah berubah. Kasih ini yang membantu kita terus mengasihi anak-anak kita. Melalui perjalanan membesarkan anak, kita semakin memahami kesabaran dan penerimaan Tuhan terhadap kita.
Membesarkan anak remaja bukan tugas yang mudah tetapi kita boleh berdoa dan meminta pertolongan-Nya, agar kita belajar mencontohi Tuhan dan “bersifat belas kasih, baik budi, rendah hati, lemah lembut dan sabar” (Kolose 3:12) dalam mendidik anak-anak kita.
Bagaimanakah anda boleh mengasihi ahli keluarga anda, walaupun menghadapi kesukaran dengan mereka?
Menjaga keluarga dengan penuh kasih sayang seperti ini mendapat makna yang lebih mendalam apabila kita melihat kata-kata terakhir Yesus di kayu salib. Walaupun sedang menanggung penderitaan yang amat dahsyat, Yesus tetap memandang kepada ibu-Nya, Maria, dan murid yang dikasihi-Nya, Yohanes. Kemudian Dia berkata dengan penuh kasih: “Lihat, itulah anakmu,” dan kepada Yohanes, “Lihatlah ibumu” (Yohanes 19:26-27).
Demi kesejahteraan ibu-Nya, Yesus menyerahkan tanggungjawab untuk menjaga Maria kepada murid-Nya, Yohanes. ” Sejak itu murid tersebut mengambil ibu Yesus sebagai ibunya dan membawanya tinggal di rumahnya” (Yohanes 19:27). Apa yang dilakukan oleh Kristus menunjukkan bahawa semua orang percaya merupakan sebahagian satu keluarga baru dalam Tuhan, bahawa hubungan kasih yang erat telah terbentuk di kaki salib.
Kasih Bapa yang Tidak Bersyarat
Tuhan Tidak Meninggalkan Saya Sebagai Ibu Tunggal
Sebarkan Berita ini
Sebarkan berita baik projek ini kepada orang lain agar mereka juga tahu. Semoga hikmat firman Tuhan yang mengubah kehidupan dapat difahami dan diperolehi oleh semua orang.
Misi kami adalah menjadikan hikmat Alkitab yang mengubah kehidupan boleh difahami dan mudah didapat oleh semua orang