Yesus berseru dengan kuat, “Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!” Setelah Yesus berkata demikian, Dia pun menghembus nafas-Nya yang terakhir. (Lukas 23:46)
“Ayah kamu hanya mempunyai beberapa bulan lagi untuk hidup,” kata doktor kepada kami. Walaupun kesihatan ayah semakin merosot sejak beberapa bulan lalu, kata-kata itu tetap menyakitkan. Saya selalu berharap ayah menerima Kristus, tetapi tahun demi tahun berlalu, dia masih belum menerimanya.
Ketika dia dimasukkan ke satu hospital di Melaka, saya merasakan dorongan kuat untuk mengatur seorang saudara seiman melawatnya secara berkala. Pada hujung minggu itu, saya pulang dan memperkenalkannya kepada seorang rakan pastor.
Sungguh mengejutkan, ayah saya terbuka untuk mendengar perkongsian daripada pastor tersebut mengenai Mazmur 121 dan bahkan memainkan lagu Kristian dalam bahasa Hokkien. Pada hari Isnin berikutnya, saya menerima panggilan dari hospital. Seorang jururawat memberitahu bahawa ayah mengadu sesuatu, lalu segera menyerahkan telefon kepadanya untuk bercakap dengan saya.
“Di manakah semua orang? Kenapa tiada sesiapa melawat saya? Saya akan mati tidak lama lagi!” rintih ayah. Saya mengingatkannya bahawa saya baru sahaja melawatnya dua hari lalu, tetapi dia tetap berasa kesunyian. Dalam saat yang genting itu, saya bertanya kepadanya, “Apabila saatnya tiba, saya tahu ke mana saya akan pergi. Tetapi apabila saat ayah tiba, adakah ayah tahu ke mana ayah akan pergi?”
Perbualan itu menjadi sedikit tegang. “Apa yang ayah akan rugi jika menerima Yesus?” saya berkata. “Ayah tidak kehilangan apa-apa, tetapi akan memperoleh segalanya!” Akhirnya, perbualan itu berakhir dengan saya berjanji akan menemuinya lagi apabila saya pulang ke Melaka.
Keesokan harinya, saya menerima mesej mengejutkan daripada rakan pastor saya:
“Hai Joshua, saya baru sahaja melawat ayah kamu dan dia telah menerima Yesus dalam hidupnya. Saya menuntunnya dalam doa orang berdosa. Saya bertanya kepadanya, “Adakah kamu ingin menerima Yesus dalam hidup kamu dan membiarkan Dia menjadi Tuhan dan Juruselamatmu?” Dia menjawab, “Kenapa tidak?””
Betapa luar biasanya rancangan Tuhan! Sudah beberapa tahun sejak ayah meninggal dunia, tetapi satu pelajaran yang saya pelajari adalah kita perlu terus menabur dan menyiram benih iman, kerana kita tidak tahu bila musim menuai akan tiba. Bagi sesetengah orang, seperti ibu bapa kita yang sudah tua, masih ada harapan untuk mereka menyerahkan hidup kepada Kristus—walaupun pada saat-saat terakhir.
Apakah kata-kata terakhir yang ingin anda tinggalkan? Tulislah agar orang-orang tersayang anda dapat membacanya selepas anda tiada. Bagaimanakah anda boleh mencerminkan kata-kata ini dalam hidup anda hari ini?
Injil Markus mencatatkan, “Yesus berseru dengan kuat lalu menghembuskan nafas terakhir” (Markus 15:37). Matius juga bersetuju, “Yesus berseru dengan kuat sekali lagi, lalu menyerahkan roh-Nya dengan nafas terakhir” (Matius 27:50). Apakah seruan terakhir ini? Adakah ini satu jeritan kemenangan atau keputusasaan? Adakah ini menandakan puncak penderitaan Yesus atau permulaan kemenangan-Nya?
Kita tidak perlu meneka kerana Lukas melengkapkan catatan ini. Dia menulis, “Yesus berseru dengan kuat, ‘Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!’ Setelah Yesus berkata demikian, Dia pun menghembus nafas-Nya yang terakhir” (Lukas 23:46). Yohanes pula menambah bahawa Yesus juga berkata, “Sudah selesai” Dia menundukkan kepala lalu menyerahkan roh-Nya” (Yohanes 19:30).
Seruan terakhir Yesus mengandungi jeritan kesakitan, namun juga mengandungi kepercayaan kepada Bapa-Nya. Dan disebabkan kata-kata terakhir-Nya dipenuhi dengan iman, seruan-Nya itu tidak menjadi kata-kata terakhir selama-lamanya. Tuhan membangkitkan Yesus—Anak-Nya yang dikasihi—dalam kemenangan dan pada suatu hari nanti, Dia juga akan membangkitkan semua orang yang tetap beriman kepada Kristus.
Mencari Ayah yang Hilang Kerana Hutang
Saya Mengampuni Suami Saya yang Curang
Sebarkan Berita ini
Sebarkan berita baik projek ini kepada orang lain agar mereka juga tahu. Semoga hikmat firman Tuhan yang mengubah kehidupan dapat difahami dan diperolehi oleh semua orang.
Misi kami adalah menjadikan hikmat Alkitab yang mengubah kehidupan boleh difahami dan mudah didapat oleh semua orang