Setelah Yesus menerima air anggur masam itu, Dia berkata, “Sudah selesai.” (Yohanes 19:30)
Semasa Hari Bapa, seorang petugas gereja bertanya “Mahu bunga merah atau putih? Jika ayahmu masih hidup, pakailah bunga merah. Jika sudah tiada, pakailah bunga putih.” Saya bergurau dan berkata, “Bolehkah saya pakai kedua-duanya?”
Ketika saya berusia 17 tahun, suatu pagi saya bangun dan mendapati ayah saya telah meinggalkan rumah dan tidak pernah kembali. Melalui panggilan telefon, dia memberitahu bahawa dia pergi ke Johor untuk bekerja dan akan kembali dalam beberapa hari. Namun, keesokan harinya, pintu pagar rumah kami dikunci dengan rantai besi.
Sejak itu, saya dan adik-beradik diganggu oleh lintah darat yang datang menuntut hutang, malah rumah kami disimbah cat merah. Sebagai anak sulung, saya terpaksa berunding, menghubungi peguam, dan membuat laporan polis. Ibu saudara menanggung keperluan asas, sementara kami belajar berdikari. Apabila dikenang kembali, saya sendiri tidak tahu bagaimana kami bertahan sebagai remaja ketika itu.
Sejak ayah pergi, saya jarang menyebutnya di hadapan orang lain. Disebabkan pekerjaan yang tidak stabil dan kegagalannya dalam pelaburan saham, dia meminjam wang lalu meninggalkan kami kerana tidak mampu membayar hutang. Saya menyangka saya tidak berdendam terhadap ayah, tetapi selepas menerima Kristus, saya bermimpi memukulnya bertubi-tubi sambil menjerit penuh emosi. Akhirnya saya sedar bahawa selama ini, saya telah memendam begitu banyak kemarahan terhadapnya.
Satu-satunya cara untuk melepaskan diri daripada bayangan ini adalah untuk mencarinya. Dengan bantuan seorang rakan polis, saya menuju ke sebuah kawasan di utara untuk mencarinya. Mulanya saya berasa takut tetapi saya berdoa tanpa henti dan teringat 1 Korintus 13:4-5:“Kasih itu penyabar dan penyayang.” Ketika akhirnya saya bertemu dengannya, saya dapat melihat betapa terkejutnya dia. Namun bagi saya, pertemuan itu memberikan kelegaan yang mendalam. Saya telah mendapat jawapan yang saya perlukan.
Setelah pertemuan itu, saya cuba mengekalkan hubungan dengannya tetapi dia sering menukar nombor telefon dan memutuskan hubungan. Akhirnya, saya biarkan saja dan hanya mampu bergantung pada doa dan percaya akan waktu Tuhan.
Ajaran Paulus mengingatkan saya untuk berhubung dengan ayah melalui kasih Tuhan. Dia mungkin berhutang wang dan kasih seorang ayah kepada saya, tetapi semua ini telah dibayar oleh kasih Bapa di syurga. Saya hanya berharap agar suatu hari nanti, ayah saya kembali ke rumah.
Adakah anda masih menyimpan dendam atau kepahitan terhadap ahli keluarga anda? Bagi anda, apakah maksudnya bahawa Yesus telah melunaskan hutang dosa anda?
Adakah kita berhutang sesuatu kepada orang lain—baik dalam kasih, perhatian, atau pengampunan?
Ketika Yesus berseru, “Sudah selesai” (Yohanes 19:30), Dia mengisytiharkan bahawa hutang dosa manusia yang telah wujud sejak lama kini telah dilangsaikan sepenuhnya. Perkataan Yesus yang keenam daripada tujuh perkataan-Nya di atas kayu salib ialah tetelestai dalam bahasa Ibrani. Perkataan ini sering digunakan dalam dunia perniagaan dan cukai untuk menunjukkan bahawa suatu hutang telah dilunaskan sepenuhnya, atau digunakan oleh hamba setelah mereka menyelesaikan tugas. Ini menjelaskan tentang Yesus, domba Tuhan yang sempurna, yang telah mati, “mengetahui bahawa segala-galanya telah berlaku sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci” (ayat 28).
Ketika Yesus mati di atas kayu salib, Dia telah memenuhi segala tuntutan hukum Tuhan yang adil dengan menanggung segala dosa dunia ke atas diri-Nya (1 Petrus 2:24). Dia bukan sahaja menutupi dosa kita, tetapi “menghapuskan dosa umat manusia” (Yohanes 1:29).
Disebabkan Yesus telah melangsaikan hutang dosa kita, kini—dengan percaya kepada kematian dan kebangkitan-Nya—kita boleh menerima hidup kekal dan menikmati kehidupan dalam kelimpahan (Yohanes 10:10). Hutang kita telah dilangsaikan!
Puas dalam Tuhan, Bukan dalam Keluarga
Peluang Terakhir Ayah Berserah Kepada Kristus
Sebarkan Berita ini
Sebarkan berita baik projek ini kepada orang lain agar mereka juga tahu. Semoga hikmat firman Tuhan yang mengubah kehidupan dapat difahami dan diperolehi oleh semua orang.
Misi kami adalah menjadikan hikmat Alkitab yang mengubah kehidupan boleh difahami dan mudah didapat oleh semua orang