Baca: Matius 2:1-15
Maka terlaksanalah apa yang difirmankan Tuhan menerusi nabi-Nya: “Dari Mesir, Kupanggil Anak-Ku.” (Matius 2:15)
Saya tidak menyangka bahawa menyanyikan lagu Krismas di gereja akan mengejutkan dan menyedihkan saya, tetapi itulah yang berlaku pada Krismas pertama saya di perantauan. Saya telah meninggalkan tempat asal saya hampir setahun selepas berkahwin. Tempoh menyesuaikan diri amat mencabar bagi saya. Saya tidak sangka perbezaan adat di gereja akan mengganggu saya. Ketika piano memainkan lagu “Di Dalam Palungan,” kedengarannya seperti melodi yang asing (bagi saya), membuatkan saya menahan air mata. Saya gembira berkahwin dengan suami saya, tetapi berasa sedih kerana berjauhan daripada kebiasaan saya.
Namun, menyanyikan lagu ini sangat sesuai pada masa yang tidak menentu itu. Baris pertama lagu menggambarkan kelahiran Yesus, “Di dalam palungan, tiada yang lain.” Dia bukan sahaja dilahirkan dalam keadaan yang sederhana, tetapi Dia juga melarikan diri daripada pemburuan Herodes ketika masih kanak-kanak. Malaikat Tuhan memberi amaran kepada Yusuf dalam mimpi: “Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir” (Matius 2:13). Yesus diselamatkan, tetapi Dia tahu bagaimana rasanya yang harus berpindah-randah. Inilah perasaan yang dialami-Nya sepanjang hidup-Nya di dunia—jauh daripada Bapa-Nya di syurga.
Kita masih boleh berasa tidak selesa tanpa harus berpindah ke tempat lain; rasa rindu boleh datang pada bila-bila masa dan di mana-mana. Apabila perasaan itu datang, kita boleh berpaling kepada Dia yang telah menderita dan bersedih. Kelahiran dan kehadiran-Nya memberi kita harapan dan kekuatan. – Amy Boucher Pye
Tuhan yang menjadi manusia, Engkau telah merasakan perpisahan yang mendalam ketika Engkau datang ke bumi sebagai seorang bayi. Apabila aku berasa tersesat, tolonglah aku mencari penghiburan-Mu.
Sebarkan Berita ini
Sebarkan berita baik projek ini kepada orang lain agar mereka juga tahu. Semoga hikmat firman Tuhan yang mengubah kehidupan dapat difahami dan diperolehi oleh semua orang.
Misi kami adalah menjadikan hikmat Alkitab yang mengubah kehidupan boleh difahami dan mudah didapat oleh semua orang.