Kolose 1:9-14
Dia telah menyelamatkan kita daripada kerajaan kegelapan dan memindahkan kita ke dalam Kerajaan Anak-Nya yang dikasihi-Nya. (Kolose 1:13)
Gran Torino ialah sebuah filem drama-aksi yang diarahkan dan dibintangi oleh Clint Eastwood. Dia memainkan watak seorang bekas askar yang bernama Walt dan berkawan dengan seorang remaja bernama Thao. Persahabatan itu bermula selepas Walt menangkap Thao cuba mencuri kereta klasiknya kerana dipaksa oleh geng tempatan. Walt melihat bahawa Thao tidak mempunyai masa depan selagi geng-geng tersebut terus berkuasa. Dengan niat untuk melindungi Thao, Walt cuba menyingkirkan mereka melalui kekerasan. Namun, usahanya gagal dan membawa akibat buruk.
Akhirnya, Walt menyedari bahawa pendekatan lain diperlukan. Pada suatu malam, Walt pergi seorang diri ke rumah geng itu. Para penjenayah menghalakan senjata ke arahnya ketika dia perlahan-lahan memasukkan tangan ke dalam kotnya. Kemudian, seolah-olah ingin mengeluarkan senjata, Walt menyentap tangannya keluar dari jaketnya. Tembakan bertalu-talu dilepaskan. Walt rebah ke tanah dengan kedua-dua tangan terbentang, menyerupai bentuk salib. Tidak lama kemudian, polis tiba, para penjenayah ditangkap, dan Thao akhirnya dibebaskan daripada penindasan mereka.
Tindakan Walt menggambarkan dengan jelas makna salib. Seperti Thao, kita juga pernah dibelenggu oleh kuasa kejahatan (Efesus 6:12). Namun, apabila Yesus mengorbankan diri-Nya untuk kita, kuasa-kuasa itu telah dilucutkan dan dikalahkan (Kolose 2:15). Melalui pengorbanan Kristus, Tuhan telah “melepaskan kita daripada kuasa kegelapan dan memindahkan kita ke dalam kerajaan Anak yang dikasihi-Nya” (Kolose 1:13). Yesus tidak membebaskan kita melalui kekerasan, tetapi dengan menyerahkan nyawa-Nya untuk menanggung kejahatan bagi pihak kita. Kini kita boleh menjadi peribadi yang ditetapkan oleh Tuhan sejak awal (ayat 10-11).
Walt bukanlah watak yang sempurna. Namun, pengorbanan terakhirnya mencerminkan apa yang telah dilakukan oleh Yesus yang tidak berdosa untuk kita di kayu salib—menyerahkan nyawa-Nya supaya kita diselamatkan daripada kuasa kegelapan.
— Sheridan Voysey
Apakah kuasa kejahatan yang sedang membelenggu anda, atau orang yang anda kasihi, dan memerlukan pembebasan hari ini?
Jika anda belum menyerahkan hidup anda sepenuhnya agar Yesus menjadi Raja dalam hati anda, apakah yang masih menghalang anda?
Yesus, terima kasih kerana Engkau telah mati untuk menyelamatkan aku daripada kuasa kegelapan!
Sebarkan Berita Baik Ini
Mainkan peranan kita sebagai saksi Kristus dan pembawa Berita Baik dalam dunia digital.