Easter-Testimony#4

Mengasihi Gereja yang Melukai Saya

Oleh Ruth Lawrence

Ayah saya seorang pastor, dan sejak kecil saya membesar di gereja yang digembalakannya. Namun saya sedar, orang biasanya mempunyai dua sikap terhadap anak pastor: sama ada meletakkan mereka pada standard yang sangat tinggi, atau menunggu saat mereka memberontak dan memalukan diri. Kedua-duanya saya tidak suka.
Oleh itu, saya berusaha tidak menyebut tentang pekerjaan ayah saya kerana saya tidak mahu disoal siasat atau diperhatikan. Saya hanya mahu mengenal Tuhan dan menghadiri gereja tanpa tekanan. Namun pada usia 20 tahun, saya membuat satu kesimpulan: saya tahu Alkitab itu benar, saya mengasihi Tuhan tetapi saya tidak menyukai orang Kristian. Ironinya, saya sendiri seorang Kristian.
Saya boleh memahami jika orang bukan Kristian menyakiti orang lain. Saya juga boleh memahami jika orang Kristian, dalam kemarahan, melukai orang. Tetapi bagaimana pula dengan orang Kristian yang dengan sengaja menyakiti sesama orang percaya?
Semasa saya kecil, jika sekumpulan kanak-kanak di gereja melakukan kesalahan, selalunya saya yang ditegur. Semakin dewasa, saya mula mendengar khabar angin tentang keluarga saya. Atas nama “ambil berat”, ada yang sebenarnya hanya ingin tahu cerita. Maka saya mula menjaga jarak, melindungi diri, dan menyimpan perkara-perkara penting daripada diketahui oleh orang lain.
Namun apabila luka-luka itu akhirnya memaksa ayah saya meninggalkan gereja yang kami layani, saya benar-benar terluka dan marah. Tuhan mungkin mengasihi saya, tetapi umat-Nya tidak!
Apabila saya terus melihat ketidakadilan berlaku dalam gereja seperti perkara-perkara yang menyakiti keluarga saya, luka itu bertukar menjadi kemarahan. Kemarahan itu pula menjauhkan saya daripada Tuhan. Saya tidak mahu meninggalkan Tuhan, tetapi saya juga tidak mahu ada kaitan lagi dengan gereja. Sehingga suatu ketika, menghadiri gereja menjadi sesuatu yang menyakitkan. Saat itu saya sedar, hati saya perlu diubahkan.
Ibrani 10:25 dan Yohanes 15 mengingatkan saya bahawa kewujudan gereja ialah rancangan Tuhan. Yesus berkata, “Tetaplah dalam kasih-Ku” (Yohanes 15:9), yang bererti kita taat kepada perintah-Nya untuk mengasihi sesama (ayat 12). Namun bagi saya, itu tidak mudah. Mengasihi bermakna saya mungkin terluka lagi.
Dalam pergelutan itu, Tuhan mengajar saya beberapa perkara:

1. Orang Kristian juga boleh saling melukai
Tiada seorang pun yang sempurna. Kita boleh menyakiti dan disakiti. Dalam sikap berjaga-jaga saya, saya juga tanpa sedar telah melukai orang lain. Maka saya perlu mengampuni, sama seperti saya sendiri memerlukan pengampunan.
Perumpamaan tentang hamba yang tidak berbelas kasihan dalam Matius 18 sering terngiang di fikiran saya. Kita telah menerima kasih kurnia daripada Tuhan, dan kita juga dipanggil untuk memberi kasih kurnia itu kepada orang lain. Saya ingin menerima kasih kurnia, tetapi sukar untuk memberikannya.
Saya sedar, jika saya bertemu lagi dengan mereka yang pernah menyakiti saya dan keluarga saya, saya mahu mereka tahu bahawa saya tidak lagi menyimpan dendam. Walaupun hubungan kami sudah jauh, pengampunan tetap boleh terjadi. Mengampuni bererti bukan sahaja saya tidak mengharapkan perkara buruk berlaku kepada mereka, malah saya mendoakan kebaikan atas hidup mereka. Ia juga mengingatkan saya bahawa jika saya bersalah, saya perlu segera meminta maaf.

2. Tiada standard yang lebih tinggi
Selagi kita hidup di dunia ini, kita tidak dapat mengelak daripada disakiti. Namun yang penting ialah bagaimana kita menghadapinya. Daripada membiarkan kepahitan bertumbuh, saya memilih untuk memaafkan sebagaimana Tuhan telah mengampuni saya (Efesus 4:32).
Kerana kasih kurnia itu, saya belajar untuk tidak cepat menghukum, tetapi lebih cepat mengampuni. Ia tidak mudah. Mengampuni bukan sifat semula jadi saya. Namun kerana Tuhan telah mengampuni dan menunjukkan belas kasihan kepada saya, saya mahu belajar melakukan hal yang sama. Saya masih dalam proses pembelajaran. Ada kalanya saya gagal tetapi saya membawa kegagalan itu kepada Tuhan dan memohon agar Dia terus bekerja dalam hati saya.
Hari ini, saya tinggal jauh dari gereja tempat saya membesar. Saya masih takut untuk terluka dan masih berhati-hati menceritakan tentang pekerjaan ayah saya. Tetapi saya belajar untuk tidak membiarkan ketakutan menguasai saya.
Gereja memang tidak sempurna. Gereja dipenuhi oleh manusia yang lemah dan terluka. Namun mereka tetap umat Tuhan yang dikasihi dan diampuni oleh-Nya. Gereja ialah keluarga Tuhan. Di sanalah kita bertumbuh dalam perjalanan mengikut Yesus. Berjuang melawan dosa bersama-sama jauh lebih mudah daripada bersendirian. Walaupun tidak sempurna, gereja tetap tempat yang disediakan Tuhan untuk kita bertumbuh dan berjalan bersama-Nya. Dan sehingga hari ini, saya belum menyerah.
Artikel ini diadaptasi daripada terjemahan Bahasa Cina oleh YAMI (www.ya-mi.org), berdasarkan artikel asal Bahasa Inggeris bertajuk “How Can I Love the Church that Hurt Me?” yang diterbitkan oleh YMI.TODAY.

 

Berita Baik Ini

Mainkan peranan kita sebagai saksi Kristus dan pembawa Berita Baik dalam dunia digital.