Easter-Testimony#5

Kasih Ayah di Lembah Derita

Oleh Qin Mei

Bagi kebanyakan orang, seorang ayah ialah wira dalam hidup serta tempat bergantung yang kuat dan melindungi. Namun sewaktu kecil, saya tidak melihat ayah saya sedemikian. Sebelum bersara, ayah bekerja di luar daerah dan hanya pulang pada hujung minggu. Saya hanya dapat berjumpa dengannya sekali dalam seminggu.

Zaman Kanak-kanak yang Dipenuhi Kekecewaan
Sejak kecil saya tahu keadaan kewangan keluarga kami tidak baik. Kereta ayah sering rosak di tengah-tengah jalan. Setiap kali menaikinya, saya berasa tidak selamat. Mungkin kerana tekanan kerja yang berat, hampir setiap kali ayah pulang, dia akan bertengkar dengan ibu. Kepulangannya membuat saya berasa serba salah—antara rindu dan takut. Apabila mereka bergaduh, suasana rumah menjadi dingin dan tegang.
Saya cemburu melihat rakan-rakan dapat bercuti bersama ibu bapa. Apabila saya meminta untuk pergi bercuti, ibu bapa selalu bersetuju. Namun apabila cuti tiba, rancangan dibatalkan dengan alasan kerja tidak mengizinkan. Dalam hati kecil saya, janji itu terasa kosong.
Saya juga sering kecewa kerana tidak dapat membeli apa yang saya inginkan. Setelah dewasa barulah saya faham, mereka memang tidak mampu. Walaupun saya aktif dalam akademik dan sukan, hampir setiap tahun menerima anugerah di sekolah, saya tidak pernah melihat wajah ibu bapa di tempat duduk penonton. Lama-kelamaan, saya melabel mereka sebagai “tidak menepati janji”. Saya berhenti berharap supaya tidak terus terluka.
Satu peristiwa yang sangat melekat di hati saya. Ketika Tahun Baru Cina, kami pulang ke rumah nenek. Apabila melihat ayah memberi wang kepada sepupu-sepupu yang saya tidak kenali, saya bertanya dengan suara lantang, “Mengapa ayah beri mereka duit? Mereka tiada hubungan dengan kita.” Di hadapan semua orang, ayah menampar saya. Itulah kali pertama dan satu-satunya dia memukul saya.
Tamparan itu bukan sahaja menyakitkan pipi saya, tetapi juga hati saya. Sejak itu, seolah-olah ada jurang yang tidak kelihatan antara saya dan ibu bapa. Mereka tidak dapat mendekati hati saya, dan saya juga tidak mahu mendekati mereka.

Tuhan Menemui Saya di Lembah
Saya bersyukur kepada Tuhan. Pada saat paling sukar dalam hidup saya, Dia membawa titik perubahan yang tidak pernah saya jangka. Saya mula percaya kepada Tuhan pada usia 19 tahun, tetapi hubungan saya dengan ibu bapa benar-benar dipulihkan ketika saya berusia 32 tahun.
Pada Januari 2018, ketika kerjaya saya baru bermula, saya didiagnosis menghidap kanser limfoma tahap kedua. Dunia saya seakan-akan berhenti. Saya tidak dapat bekerja. Rambut dan kening saya gugur akibat kemoterapi. Saya seakan-akan masuk ke dalam lembah yang gelap. Namun di lembah itulah saya melihat kasih yang tidak pernah saya sedari sebelum ini.
Walaupun ibu bapa sudah bersara, mereka sanggup berpindah dari Kluang ke Melaka dan menyewa rumah berhampiran hospital untuk menjaga saya sepanjang rawatan. Mereka menemani saya dalam setiap sesi rawatan, dan tidak pernah meninggalkan saya sendirian.
Dalam lembah itu, Tuhan benar-benar meremukkan keangkuhan saya. Dalam enam bulan itu, saya kehilangan 20 kilogram. Semua pencapaian dan kejayaan yang dahulu saya banggakan menjadi tidak bermakna. Saya sedar betapa rapuhnya hidup ini. Saya tidak lagi dapat bergantung pada kekuatan sendiri. Saya kembali datang kepada Tuhan dengan hati yang hancur. Saya memohon belas kasihan dan kesembuhan-Nya.
Suatu hari, saya membaca Matius 18:19-20:
“Ketahuilah juga, setiap kali dua orang daripadamu di dunia ini bersetuju untuk memohon sesuatu daripada-Ku, permohonan itu akan dikabulkan oleh Bapa-Ku di syurga; kerana apabila dua atau tiga orang berhimpun dalam nama-Ku, Aku ada di situ bersama mereka.”
Walaupun ibu bapa belum percaya pada waktu itu, saya mengajak mereka berdoa bersama-sama. Kami berpegangan tangan dan sehati memohon kepada Tuhan. Itulah kali pertama setelah sekian lama saya menggenggam tangan ayah dan ibu. Tangan ayah yang pernah menampar saya terasa begitu hangat. Pada saat itu, luka lama dalam hati saya seolah-olah dilembutkan oleh kasih Tuhan.

Sepanjang rawatan, ramai orang menangis untuk saya. Tetapi yang paling kerap menangis ialah ayah saya. Di situlah saya benar-benar melihat kasihnya yang selama ini tersembunyi di sebalik kekerasan dan keletihan hidup. Enam bulan kemudian, rawatan saya selesai. Puji Tuhan, saya sembuh dan dapat kembali ke Kluang bersama ibu bapa.

Ayah Menerima Yesus
Pengalaman itu mengubah bukan sahaja tubuh saya, tetapi juga hati saya. Setelah saya sembuh, saya kembali bekerja dan melayani di gereja. Setiap kali saya menjadi pengacara majlis, ayah akan memandang saya dengan bangga dan bertepuk tangan seperti seorang “peminat setia”.
Perjalanan ayah menjadi orang Kristian daripada seorang ateis bukanlah singkat. Saya sering mengingatkannya bahawa banyak perkara dalam hidup ini di luar kawalan kita. Semakin kita meningkat usia, semakin kita sedar betapa kita memerlukan anugerah dan kekuatan daripada Tuhan.
Namun melalui penyakit gangguan keseimbangan telinga yang dialaminya, dia belajar bahawa manusia tidak mampu mengawal segala sesuatu. Dalam kesakitan, dia mula bergantung kepada Tuhan. Dia menghadiri kebaktian dan persekutuan. Dia mengalami damai sejahtera dan sukacita yang tidak pernah dirasainya sebelum ini.
Pada Krismas tahun lalu, ayah sendiri meminta untuk dibaptis. Kini dia bukan sahaja ayah saya di dunia ini, tetapi juga saudara seiman saya di dalam Kristus.
Saya bersyukur kepada Tuhan atas seorang ayah yang begitu mengasihi saya, dan atas pemulihan hubungan kami. Saya terus berdoa dan percaya suatu hari nanti ibu saya juga akan menerima Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamatnya.
Seperti Kristus yang melalui penderitaan sebelum kebangkitan, saya juga melalui lembah sebelum melihat kemuliaan Tuhan. Di tempat yang paling gelap, Tuhan bekerja memulihkan hati saya dan memulihkan keluarga saya. Apabila saya menoleh ke belakang, saya sedar semuanya berada dalam rancangan Tuhan yang indah. Lembah yang saya lalui bukan untuk menghancurkan saya, tetapi untuk membentuk saya.
Segala kemuliaan bagi Tuhan yang telah membawa saya dari lembah derita kepada hidup yang dipulihkan.

Berita Baik Ini

Mainkan peranan kita sebagai saksi Kristus dan pembawa Berita Baik dalam dunia digital.