“Singkirkanlah segala kepahitan, keberangan dan kemarahan, pergaduhan dan umpatan, bersama segala niat jahat. Dan berbelas kasihlah satu sama lain, bersikap baik, saling memaafkan, sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam Kristus.” (Efesus 4:31–32)
Luka Sejak Kecil yang Menghancurkan Hati
Saya dibesarkan dalam keluarga yang berpecah-belah dan hidup dalam kemiskinan. Sejak kecil, saya sering dihina, dibuli, dan dipulaukan. Yang paling menyakitkan, bukan hanya masyarakat yang melakukannya tetapi juga orang yang mengaku sebagai umat Tuhan.
Saya masih ingat pengalaman keluarga kami pernah disimbah air kencing, dituduh mencuri hanya kerana kami miskin, dan dipandang hina oleh rakan-rakan. Hati saya terluka, kecewa, dan penuh dengan dendam.
Ketika berusia 6 tahun, saya belum memahami banyak perkara, tetapi saya tahu satu hal: hati saya sangat sakit. Saya tertanya-tanya mengapa keluarga saya harus melalui semua ini. Saya tidak dapat menerima kenyataan tersebut, apatah lagi untuk mengampuni orang yang telah melukai saya. Saya bahkan pernah berkata, saya tidak akan mengampuni ibu bapa saya yang telah bercerai.
Namun, ketika saya meningkat remaja, ada sebuah lagu yang sering terngiang di telinga saya:
Mengampuni, mengampuni lebih sungguh,
Yesus lebih dulu mengampuni dosa saya,
Mengampuni, mengampuni lebih sungguh.
Lagu itu menjadi doa saya setiap kali hati saya terlalu berat untuk mengampuni. Walaupun sukar, saya bersyukur kerana Tuhan tidak membiarkan saya terus tenggelam dalam kepahitan. Melalui persekutuan doa di asrama dan hamba-hamba Tuhan yang setia, saya diingatkan bahawa Tuhan mendengar tangisan saya. Sedikit demi sedikit, Tuhan melembutkan hati saya yang keras dan terluka.
Pembebasan Daripada Beban Dendam
Walaupun saya berdoa dan menyanyi, dendam itu masih saya genggam erat. Saya terus bergelut. Namun saya sedar, saya tidak mampu memikulnya lagi. Saya terlalu lelah dan saya hanya mahukan damai.
Pada tahun 2012, asrama kami dikunjungi oleh beberapa penginjil dari Australia. Mereka mengadakan pelbagai aktiviti untuk membangun jati diri pelajar, termasuk mendoakan kami. Pada suatu malam, ketika warden berdoa sambil menjamah kepala saya, saya menyerah sepenuhnya kepada Tuhan, tanpa disedari, saya menangis teresak-esak. Malam itu, saya mengalami pembebasan daripada beban dendam yang selama ini menekan jiwa saya.
Pembebasan itu bukan kerana warden saya, tetapi kerana kuasa dan kasih Yesus yang agung. Saya menyerahkan semuanya kepada Tuhan termasuk dendam terhadap ibu bapa saya, orang kampung, dan juga gereja yang pernah menghina kami.
Tahun-tahun saya di Asrama Skycommunity (2012–2014) menjadi tahun-tahun pembentukan yang sangat bermakna. Di situlah saya belajar mengampuni, dan di situlah hati saya dipulihkan. Damai dan sukacita mula bertunas. Saya mula belajar mendoakan orang-orang yang pernah melukai saya termasuk keluarga sendiri.
Tuhan tidak mengubah sejarah hidup saya, tetapi Tuhan mengubah hati saya. Hati yang dahulu seperti gelas pecah dan tidak berguna, Tuhan jadikan seperti pasu bunga yang indah. Luka itu mungkin tidak mudah dilupakan, tetapi Tuhan mampu memakai luka itu untuk kemuliaan-Nya.
Kuasa Salib yang Membebaskan
Pengampunan bukan sesuatu yang mudah, tetapi ia membebaskan. Yesus telah mengampuni saya terlebih dahulu melalui salib-Nya, maka saya juga memilih untuk mengampuni. Hari ini saya berdiri sebagai saksi bahawa hanya Tuhan yang mampu membentuk hati yang baru dalam diri kita dan memberikan kita kedamaian sejati.
Yesus berkata: “Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu.” (Matius 7:7)
Saya mengetuk dengan hati yang terluka dan Tuhan membuka jalan kepada pemulihan dan damai.
Berita Baik Ini
Mainkan peranan kita sebagai saksi Kristus dan pembawa Berita Baik dalam dunia digital.