Baca Lukas 23:32-43
Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus. (Lukas 23:43)
Semasa Perang Dunia Kedua, Charles Brown, seorang juruterbang berbangsa Amerika, sedang pulang daripada satu misi. Pesawat B-17 yang dipandunya rosak teruk dan hampir gagal berfungsi ketika terbang di ruang udara Jerman. Brown memandang ke luar tingkap dan terdiam. Sebuah pesawat pejuang Jerman berada hanya kira-kira satu meter daripada sayap pesawatnya, bersedia untuk menembak. “Ini mimpi ngeri,” kata pembantu juruterbangnya. Brown dapat melihat mata juruterbang Jerman itu. Namun yang luar biasa, juruterbang Jerman tersebut tidak menarik picu senjatanya. Sebaliknya, dia mengangguk kepada Brown dan mengiringi pesawat B-17 itu merentasi ruang udara Jerman, melindunginya daripada tembakan senjata anti-pesawat.
Bertahun-tahun kemudian, Brown berusaha mencari juruterbang Jerman yang telah menyelamatkannya. Dengan cara yang menakjubkan, dia menemui lelaki penuh belas kasihan itu—Franz Stigler. Apabila mereka bertemu, kedua-duanya berpelukan dan menangis.
Belas kasihan yang menyelamatkan nyawa itulah juga yang dialami oleh penjahat di kayu salib. Lelaki itu tahu dia akan mati, tetapi dia percaya bahawa Yesus dapat memberikan belas kasihan kekal atas dosanya. Dia berkata, “Ya Yesus, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu” (Lukas 23:42). Yesus menghulurkan belas kasihan itu kepadanya dan berkata, “Hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus” (ayat 43). Kita yang percaya kepada Yesus juga diselamatkan oleh belas kasihan Tuhan yang penuh kasih.
Namun, adakah kita menunjukkan belas kasihan kepada orang lain? Kuasa belas kasihan berpunca daripada apa yang dilakukan oleh Yesus di kayu salib. Alkitab berkata, “berbelas kasihlah satu sama lain, bersikap baik, saling memaafkan, sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam Kristus” (Efesus 4:32). Kiranya Tuhan menolong kita untuk menunjukkan belas kasihan kepada orang lain hari ini.
— Ken Petersen
Apakah hubungan dalam hidup anda yang memerlukan kuasa belas kasihan?
Bagaimanakah anda boleh menunjukkan belas kasihan kepada seseorang yang pernah menyakiti anda?
Ya Tuhan, terima kasih atas belas kasihan yang aku terima melalui kematian Anak-Mu di kayu salib. Tolong aku meneladani-Nya dan menunjukkan belas kasihan yang sama kepada orang lain.
Sebarkan Berita Baik Ini
Mainkan peranan kita sebagai saksi Kristus dan pembawa Berita Baik dalam dunia digital.