Eaaster-Day1

Hari 01

Jenayah Masa Lalu

Baca 2 Korintus 5:16-21

Dalam Kristus, Allah telah mendamaikan isi dunia ini dengan diri-Nya dan tidak lagi memperhitungkan kesalahan-kesalahan mereka. (2 Korintus 5:19)

Tan mempunyai anak daripada dua perkahwinan. Kedua-dua isteri Tan saling membenci dan menghalang anak-anak mereka daripada berjumpa antara satu sama lain. Tan akhirnya meninggal dunia. Anak-anak yang sudah dewasa cuba menjalin hubungan semula semasa upacara pengebumiannya. Mereka terkejut kerana kebanyakan mereka kini sudah percaya kepada Yesus. “Marilah kita lupakan masa lalu,” kata salah seorang anak itu kepada adik-beradiknya. “Apa sahaja yang berlaku, itu semua daripada generasi yang lalu.” 

Pendamaian memang sukar. Pengampunan kadang-kadang terasa mustahil, terutamanya apabila punca pertelingkahan masih wujud. Itulah yang berlaku antara manusia dan Tuhan ketika kita berdosa. Dosa memusnahkan hubungan kita dengan Tuhan yang kudus, yang pasti menghukum dosa. 

Tetapi Tuhan mengutus Anak-Nya, Yesus, mati di kayu salib, “mendamaikan isi dunia ini dengan diri-Nya dan tidak lagi memperhitungkan kesalahan-kesalahan mereka” (2 Korintus 5:19). Melalui kematian-Nya, bukan sahaja rasa bersalah kita dihapuskan dan hukuman ke atas kita ditanggung-Nya, malah kita diterima semula oleh Tuhan. Kita didamaikan dengan-Nya dan boleh datang kepada Tuhan dengan bebas serta penuh sukacita, kerana kita sudah diampuni sepenuhnya. Melalui kebangkitan Yesus, kita menjadi “ciptaan baru” (2 Korintus 5:17), yang tidak lagi terbelenggu oleh dosa lama. Betapa luar biasanya apabila Tuhan berkata kepada kita: “Lupakan masa lalu. Kamu kini bersama-Ku untuk selama-lamanya.” 

— Leslie Koh 

Renungkan:

Apakah maknanya berdamai dengan Tuhan bagi anda?

Bagaimanakah perdamaian ini mengubah cara anda hidup dan berhubung dengan orang lain?

Berdoalah:

Ya Bapa, terima kasih kerana Engkau mengutus Anak-Mu untuk mati di kayu salib bagi kami, supaya kami diampuni, diterima, dan dikasihi sepenuhnya oleh-Mu.

Sebarkan Berita Baik Ini

Mainkan peranan kita sebagai saksi Kristus dan pembawa Berita Baik dalam dunia digital.