Easter-Testimony#1

Pengampunan Membawa Kesembuhan

Oleh Pastor Melia Dian

Setiap orang pernah melalui pengalaman pahit yang meninggalkan luka dalam hati. Ada yang dikhianati, dihina, atau dilukai oleh orang yang paling dekat. Luka ini sering melahirkan marah, kecewa, dan kepahitan. Namun, pengampunan membuka jalan kepada kedamaian dan kebebasan emosi. 

Kemunculan Kepahitan 
Pada 10 Februari 2017, saya diuji dengan masalah keluarga sehingga terasa seperti dunia saya runtuh. Ketika sedang menjemput adik saya pulang dari tempat kerja, saya menerima panggilan daripada ibu yang memberitahu tentang hubungan sulit ayah saya. Saya cuba kuat demi adik, tetapi akhirnya tangisan memecahkan kesunyian dalam kereta.

Tokoh bapa yang sepatutnya menjadi teladan, musnah sekelip mata kerana kedagingan. Sejak itu, kepahitan dan luka memenuhi hati saya hingga keluarga turut terkesan. Saya mahu lari daripada semua orang, memutuskan hubungan, dan tidak mahu berhadapan dengan sesiapa. 

Mengakui Luka Dalaman
Saya mengambil masa seminggu untuk bercuti demi menenangkan diri. Dalam tempoh itu, saya sedar Tuhan sedang merancang permulaan baharu untuk saya.
Saya berdoa, tetapi yang keluar hanyalah tangisan. Saya sering bertanya, “Mengapakah semua ini berlaku ketika saya sedang mengabdikan diri kepada Tuhan?” Namun, ketika saya berada dalam keadaan paling rapuh, Tuhan menyentuh hati saya dengan satu bisikan: “Ampuni, walaupun terluka.”
Saya sedar saya tidak mampu mengampuni dengan kekuatan sendiri. Luka itu terlalu dalam. Tetapi Tuhan yang menguatkan saya untuk memilih pengampunan. Saya belajar bahawa pengampunan bukan sekadar melupakan atau menutup cerita, tetapi mengakui luka itu dan menyerahkannya kepada Tuhan, terutama sebagai seseorang yang melayani Tuhan sepenuh masa. Pengampunan melambangkan kasih dan anugerah Tuhan. Ia bukan sekadar pilihan, tetapi satu keharusan. 

Penyembuhan Melalui Pengampunan
Tuhan sangat baik dalam proses penyembuhan ini. Jika bukan kerana Tuhan, saya tidak akan merasai kedamaian selepas mengampuni. Seiring waktu, beban yang saya tanggung semakin ringan kerana saya memilih datang kepada Bapa, menyahut jemputan-Nya, “’ Marilah ke sisi-Ku, wahai semua yang jerih lelah dan memikul beban berat; Aku akan memberimu kelegaan” (Matius 11:28).

Proses Pemulihan
Syukur kepada Tuhan, pemulihan bukan hanya berlaku dalam diri saya, tetapi juga dalam keluarga. Saya memilih untuk mentaati firman Tuhan untuk “saling memaafkan, sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam Kristus” (Efesus 4:32). Pada hujung tahun 2017, pengampunan menghasilkan kepercayaan, kesatuan, dan membina semula hubungan yang pernah retak. Pengampunan membuka jalan kepada kesatuan di bawah pimpinan Tuhan. 

Renungan
Perjalanan pengampunan bukan mudah, tetapi saya belajar bahawa penyembuhan luka dalaman hanya boleh disembuhkan apabila Tuhan turut serta. Kadang-kadang kita cuba untuk sembuh dengan cara sendiri, tetapi ia hanya sementara dan kepahitan boleh muncul kembali.
Sebagai orang Kristian, kita perlu datang kepada Tuhan, mengakui kepahitan dan luka, kerana Dia mendengar dan memberi kelegaan, “TUHAN menjawabku dan meletakkan aku di tempat yang lapang” (Mazmur 118:5).
Jika kita sedang bergelut untuk mengampuni, lakukanlah dengan kasih “kerana kasih akan menutup banyak dosa” (1 Petrus 4:8). Ada satu lagu yang menjadi doa saya hingga hari ini: Pemulihan Keluarga—Maria Shandi

Ini saatnya
Tuhan kan melawat k’luargaku Ini waktunya
Pemulihan terjadi
C/O  
K’luargaku milik-Mu
S’lalu berharga di mata-Mu Kau satukan,
Kau berkati
Untuk kemuliaan-Mu Kau satukan, Kau berkati Untuk kemuliaan-Mu.
Tentang Penulis 

Pastor Melia Dian merupakan seorang pastor di Damai Baptist Church, Serian. Dia berumur 33 tahun (2026), belum berkahwin dan berbangsa Iban dari daerah Song. Dia ialah anak kedua daripada 6 orang adik-beradik, mempunyai kelulusan Sarjana Muda Teologi dan sekarang ini sedang menyambung Sarjana Diviniti di  Malaysia Baptist Theological Seminary.  

Berita Baik Ini

Mainkan peranan kita sebagai saksi Kristus dan pembawa Berita Baik dalam dunia digital.