kerana kuk yang ditanggung mereka dan kayu pikulan di bahu mereka, iaitu tongkat para penindas mereka, telah Kauhancurkan seperti pada zaman orang Midian. (YESAYA 9:4)
Bulan Disember semakin hampir, tetapi saya tidak merasakan kegembiraan yang dinanti-nantikan, malah ketakutan. Membeli-belah, membuat kuih-muih, dan menghias rumah—hanya menambah kepada senarai panjang komitmen saya. Saya ingin mengambil masa untuk merenungkan tentang Tuhan yang telah menjadi manusia, tetapi fikiran saya lebih tertumpu kepada bagaimana saya akan menyiapkan semuanya. Semasa saya membaca satu petikan daripada nabi Yesaya mengenai kedatangan Mesias, saya perasan beberapa ayat yang sering terlepas pandang. Tuhan telah berjanji kepada umat-Nya bahawa Dia akan melipatgandakan jumlah bangsa itu dan memperbesar sukacita mereka (Yesaya 9:3); Dia akan mematahkan “kuk yang ditanggung mereka dan kayu pikulan di bahu mereka, iaitu tongkat para penindas mereka” (ayat 4). Dia akan membawa satu pemerintahan yang baharu: “Seorang anak telah lahir bagi kita … dan namanya akan disebut: Penasihat Ajaib, Allah Perkasa, Bapa Kekal, Raja Damai” (ayat 6).
Sambil saya merenungkan hadiah yang merupakan Yesus sebagai penggenapan nubuat Tuhan, saya juga terfikir betapa besarnya kasih Tuhan kerana Dia membebaskan umat-Nya daripada penindasan dan pergolakan. Saya sedar bahawa Tuhan juga boleh membebaskan saya daripada beban di bahu saya—beban komitmen yang terlalu banyak. Walaupun kesibukan saya mungkin tidak setanding dengan pembebasan umat Israel, Tuhan tetap memberikan hikmat dan pertolongan kepada saya.
Tuhan mahu kita menikmati pembebasan-Nya—sekarang dan akan datang. Apabila kita menerima Anak-Nya sebagai Penasihat Ajaib, Dia sebagai Raja Damai akan memberi kita kedamaian abadi.
— Amy Boucher Pye
Pada musim Natal ini, apakah perkara yang mudah membuat anda hilang fokus daripada Yesus? Adakah anda rindu untuk kembali kepada fokus yang benar, dan apa yang boleh menolong anda?
Tuhan, terima kasih kerana Engkau telah mengutus Yesus untuk membawa terang dan hidup ke dalam dunia yang gelap ini, supaya kami memiliki kemerdekaan dan damai yang sejati. Engkau tahu kepenatan hatiku dan melihat beban yang ada di bahuku. Tolonglah aku belajar untuk berehat di dalam-Mu walaupun di tengah kesibukan, supaya aku dapat merasakan kehadiran-Mu dan pimpinan-Mu dalam setiap cabaran hidupku. Dalam nama Yesus, amin.
1Meskipun begitu, tidak akan ada lagi kesuraman bagi mereka yang dahulu berada dalam kesusahan. Pada zaman dahulu Dia memandang rendah Tanah Zebulon dan Tanah Naftali, tetapi pada kemudian hari Dia akan memuliakan jalan dekat laut di seberang Sungai Yordan, Galilea, daerah bangsa-bangsa asing. 2Bangsa yang berjalan dalam kegelapan telah melihat cahaya yang gemilang. Bagi mereka yang tinggal di negeri yang di bawah bayangan maut, cahaya telah bersinar. 3Engkau melipatgandakan jumlah bangsa itu, Engkau memperbesar sukacita mereka. Mereka bersukacita di hadapan-Mu, seperti orang bersukacita pada musim menuai, seperti orang bergembira apabila membahagi-bahagikan jarahan, 4kerana kuk yang ditanggung mereka dan kayu pikulan di bahu mereka, iaitu tongkat para penindas mereka, telah Kauhancurkan seperti pada zaman orang Midian. 5Setiap sepatu yang berderap dalam deru peperangan dan pakaian yang berlumuran darah akan dibakar dan menjadi bahan bakar untuk api. 6Sesungguhnya, seorang anak telah lahir bagi kita, seorang putera telah dikurniakan bagi kita. Di atas bahunya tampuk pemerintahan, dan namanya akan disebut: Penasihat Ajaib, Allah Perkasa, Bapa Kekal, Raja Damai.
Lima artikel renungan ini dipilih daripada buku renungan 10 Hari: Hadiah untuk Semua. Jika anda ingin terus mendekatkan diri dengan Tuhan, kami menjemput anda menyertai perjalanan rohani 10 hari yang penuh makna—cukup 10 minit setiap hari untuk merenung dan berdoa.